23 Mar 2023

Asas pelaburan saham - Apakah itu Carta CandleStick (CandleStick Chart)



Carta Candlestick berasal dari Jepun lebih 100 tahun sebelum Barat membangunkan carta palang dan carta titik dan angka. Pada tahun 1700-an, seorang lelaki Jepun bernama Homma mendapati, terdapat kaitan antara harga dengan penawaran dan permintaan beras, pasaran sangat dipengaruhi oleh emosi peniaga. Candlestick sendiri menunjukkan emosi iaitu dengan memberi gambaran jelas harga bergerak dengan warna yang berbeza di mana panjang keseluruhan mewakili julat harga tertinggi dan terendah, badan utama terletak di tengah-tengah mewakili julat harga dibuka dan harga ditutup

Apa yang perlu anda fahami:

  1. Candlestick sama seperti carta bar ia memaparkan harga dibuka, tertinggi, terendah dan harga ditutup sesuatu saham dalam tempoh masa tertentu. Bezanya ia digambarkan seperti lilin tetapi mempunyai bayangan atas dan bawah.

  2. Candlestick mempunyai 3 asas komponen, badan utama mewakili julat harga di antara harga buka dan tutup bagi jangka waktu tertentu, sementara bayangan atas mewakili julat harga tertinggi berbanding harga ditutup atau dibuka dan bayangan bawah mewakili julat harga dibuka atau ditutup berbanding harga terendah.

  3. Candlestick mempunyai warna yang berbeza mengikut perbezaan harga dibuka dan ditutup, sekiranya harga ditutup lebih tinggi dari harga dibuka ia diwarnakan dengan hijau atau putih bermakna berlaku kenaikan, sebaliknya jika harga ditutup lebih rendah atau sama dengan harga dibuka ia diwarnakan dengan merah atau hitam bermakna  berlaku penurunan atau tidak berubah. Warna tersebut mestilah sepadan Hijau/Merah atau Putih/Hitam.

  4. Candlestick mempunyai bentuk yang pelbagai bergantung pada harga buka, tutup,tinggi dan  rendah. Contoh nya jika harga buka dan tutup sama maka ia berbentuk seperti salib, jika harga tertinggi sama dengan harga tutup maka bentuk lilin tanpa bayang atas, jika harga buka sama dengan harga terendah maka bentuk lilin tanpa bayang bawah. Oleh itu carta Candlestick di wakili oleh pelbagai bentuk Candestick bagi menggambarkan corak atau trend pasaran mengikut jangka waktu yang ditetapkan.

 Carta candlestick digunakan oleh pelabur untuk menentukan kemungkinan berlaku pergerakan harga berdasarkan corak (Chart pattern) masa lalu dan kebanyakan algoritma adalah berdasarkan maklumat harga yang sama seperti yang ditunjukkan dalam carta Candlestick.

Tindakan harga (Price action) boleh memberikan petunjuk kepada pelabur samada akan berlaku peralihan atau penerusan arah aliran. Sebagai contoh, sekumpulan Candlestick boleh membentuk corak tertentu yang berlaku di mana-mana jangka waktu boleh memberi petunjuk samada akan berlaku peralihan atau penerusan arah aliran. 

Candlestick juga boleh membentuk formasi individu yang boleh menunjukkan penyertaan belian atau jualan dalam pasaran. Sebagai contoh, Badan utama Candlestick berwarna hijau yang panjang bermakna berlaku kenaikan ketara dan begitu juga sebaliknya. Komponen Candlestick yang berbeza boleh membantu anda meramalkan ke mana harga mungkin pergi, contohnya jika Candlestick ditutup jauh di bawah harga dibuka, ia mungkin menunjukkan penurunan harga berlanjutan.

Tempoh yang digambarkan oleh setiap Candlestick bergantung pada jangka masa yang dipilih oleh pelabur. Jangka masa yang popular ialah jangka masa harian, jadi Candlestick akan menggambarkan harga buka, tutup dan tinggi dan rendah untuk hari itu.

Kesimpulan:

Carta Candlestick formasi individu menggambarkan kekuatan jualan dan belian sesuatu saham dan juga arah pergerakan saham dalam jangka waktu tertentu. Sementara itu corak yang dibentuk oleh sekumpulan Candlestick dapat menentukan samada akan berlaku peralihan atau penerusan arah aliran.

Selamat Mencuba. Terima Kasih.

Sham Saham.

No comments: